Ahad, 7 September 2014

RE: Pergi



Maafkan diriku.


Aku tahu, ia sudah terlambat. Apabila aku dengar khabar tentang pemergianmu, sejuta satu peluru menembak aku dengan rasa menyesalan. Hingga detik ini.

Aku seorang yang kejam. Lebih kejam dari yang kejam.

Maafkan diriku,

Aku tahu ini sudah terlambat.

Kau sudah pergi sebelum aku ucap maaf. keegoan aku mungkin berjaya untuk buat aku menang tapi aku kalah dengan setiap yang lalu tanpa aku menghargai yang hidup. Silaturahim itu sangat penting untuk setiap manusia berpijak pada tanah Tuhan.

Maafkan diriku,

Diatas kata yang aku lepaskan dengan emosi yang gila beberapa tahun yang lalu tanpa sedikitpun aku memikirkan bahwa kau juga sama seperti manusia lain, punya hati. Hanya kerana aku terlalu ikutkan rasa mahu, aku marah-marah.

Aku buang semua memori. Aku bakar semua antara kita. Aku delete semua nombor talifon supaya aku akan menang dalam fikiran bahwa aku lupa setiap digit kau. Dan aku berjaya.

2 tahun lepas kita punya krisis, masing-masing buat haluan sendiri. Aku tetap aku. Seorang yang punya ego tinggi yang tak pernah mahu ingin kalah.

Maafkan diriku,

3 minggu lalu aku diberitahu temanku bahwa kau dimasukkan hospital kerna sakit jantung, darah tinggi dan beberapa penyakit lainnya. Berita tentang kesakitanmu itu sebenarnya aku sudah dengar lama. Tapi, aku tetap tak mahu kalah.

Maafkan diriku,

Sehari pun aku tidak menjengukmu di hospital saat kau terlantar tidak berdaya. Foto yang dikirim temanku saat kau diusung kerusi roda juga sedikitpun tidak buat hati aku lembut. Entah mengapa kaki aku berat untuk kesana biarpun seluruh teman-temanku bilang, kau kristis. Peratus untuk hidup hanya tipis. Aku tetap tidak mahu untuk kalah.

Aku masih ingat, bagaimana kau menyiksa hati aku bertahun-tahun. Dengan kata-kata, tingkah laku, sikap yang aneh. Mungkin itu adalah jawapan yang paling tepat kenapa aku tak berbaik apalagi menjalani silaturahim semula. Aku hukum kau, lebih awal dari Tuhan. Aku tahu, aku hina sekali.

Maafkan diriku,

Hampir 2 tahun kita menjauh. Tidak berhubung biarpun kita punya banyak kesempatan dan kemudahan. Rumah kita dekat. Tempat kerja kita tidak jauh. Tapi, tidak. Antara kita itu sekarang adalah orang asing yang tidak pernah kenal hanya kerana perasaan antara kita sakit. Aku benci miliki hati seperti ini. Keras ikut memori.

Aku minta maaf.

Petang lepas kerja, aku terdetik untuk ke hospital menjenguk kau. Saat aku datang, ramai yang jatuh air mata. Aku nampak ibu kau terduduk dikerusi. Aku nampak teman-teman aku berdiri disudut. Dan aku meluru ke arah kau, kau sudah pejam mata.

Aku menangis tapi tak ada harga lagi. Apa guna setiap air mata aku yang jatuh, tapi kau dah takda lagi.

Bangun,
Tolong.

Bangunlah.
Dengarkan aku,
Sekali ini.

Tak,
Terlambat--

Lepas zuhur, kau dibawa ke rumah kali ini tanpa salam dari kau yang selalu riang beri salam ketika masuk rumah.

Kau diusung orang-orang perlahan-lahan. Waktu kau dibaringkan dan dibuka kain pada wajah kau, aku teringat waktu pertama kali aku berjabat salam dengan kau. Kau periang. Kau tanya nama aku siapa. Kau tanpa aku tinggal dimana. Kau tanya aku asal dimana.

Aku menangis,
Untuk memori yang pertama kita.

Untuk detik ini, aku terbawa pada satu memori. Hadiah dihari ulang tahun aku. Kau belikan hadiah yang paling aku suka; kasut. Kau belikan aku kasut yang tak mampu aku beli ketika itu.

Hey, aku juga datang hari ini dengan kasut itu. Bangun. Tengoklah kasut yang kau bagi. Bangunlah.
Aku sekarang dirumah kau. Rumah yang punya banyak memori antara kita. Dimeja itu, kita pernah bermain game dilaptop bersama. Di meja itu, kita bermain tenaga; tangan siapa paling kuat. Di meja itu, kita makan bersama.

Terlalu banyak,
Disini.

Dirumah kau, ramai yang menangis redha. Seribu satu penyelasan dihati aku. Hati kecil aku menjerit untuk minta kau bangun. Tolong. Untuk sekali saja, aku ingin kau dengar ini;

"Aku nak minta maaf, sepanjang kita mengenali, kita tidak menyapa sejak antara kita terasa hati.."

Tolong,
Dengarlah.

Redha,
Semua sepi sayu--

Lepas kau selamat disemadikan, aku tetap jerit untuk minta kau bangun.

"Bangunlah, maafkan aku.."

NOTA: pandang dan cari siapa yang dekat disekeliling kita tapi tidak kita jalani silaturahim. Kalahkan sekejap diri kita dengan ego untuk kita menyapa. Bila dia pergi, dia tidak kembali lagi.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan