Friday, June 23, 2017

Surat Ke Syurga - PART 2


Zulaikha Sharif.
Taman Syurga Indah,
00000 Langit Ketujuh,
Syurga.

NO 30, Jalan Permata Sari,
Sri Damansara Jalan 16/A,
47830 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.

4 Ogos 2011.

Ke hadapan kekasihku, Zulaikha.

Sehingga hari ini aku masih lagi memakai plastik berwarna jingga yang aku sarung di kepala kau sewaktu kita melintasi garis jalan di Jalan Robinson.

Aku masih ingat lagi tentang dakapan lenganku di bahumu. kau kesejukan. Hujan itu seperti sebuah isyarat di mana harus ke mana tangan ku untuk singgah melindungi tubuhmu seperti titisan hujan rintik itu. Tidak aku izinkan ia jatuh di kepalamu. Zulaikha sayang, aku tahu kau takut petir, dentuman guruh dan gemiris-gemiris kecil. Kata kau, kau tidak suka untuk merasa sakit. Dan bagiku, sakitmu tidak udah seperti rasa yang selalu ingin membuat aku untuk terus dekat dan menjagamu.

Betapa besarnya rasa ini buatmu, Zulaikha. Tanpa pernah aku lakukan kepada siapa pun sebelum ini. Semua terjadi apabila kau hadir 7 yang tahun lalu di saat aku ranap ditinggal oleh sang pengkhianat cinta.

Dengan secebis rasa percaya dan cinta untuk akujadikanmu bidadari terindah, aku persembahkan kau layar cerita ini. Kekasih paling cantik di dunia, dan aku sangat bangga memilikimu.

Zulaikha yang baik,

Aku di sini bersama orang yang tidak aku kenal. Mereka hanya bercakap sendiri dan ketawa. Hampir semua. Aku takut Zulaikha, kenapa aku harus tinggal bersama mereka?

Aku tidak tahu kenapa aku di sini. Memakai pakaian hijau bertutup hingga ke pergelangan tangan, memakai seluar panjang, dan aku harus mengulang pakaian ini sehari-hari. Kenapa Zulaikha?

Pakaian aku dengan orang-orang di sini hampir sama. Cuma di bezakan oleh orang yang selalu menghulur makan, memberi ubat dan juga si polan yang selalu bercerita tentang motivasi penguat jiwa. Apa mereka fikir jiwa aku lemah? Apa mereka fikir aku gila, Zulaikha? Aku bosan mendengar kata bahwa hidup adalah proses mengenal hati, berbuat baik dan menerima takdir. Mereka kata penghuni-penghuni yang tinggal disini, adalah sakit! Aku tidak sakit Zulaikha. Aku cuma merindukan kau. Mereka yang sebenarnya gila!

Aku dipisahkan di ruangan bilik yang berbeza. Kau tahu, Zulaikha? Ruang yang sering aku jadikan tempat untuk menulis selain hati, adalah diruang dinding bilik ini. Aku menemui kebebasan bersuara di sini. Orang-orang di sini baik. Mereka tidak marah bila dinding ini penuh dengan tulisan. Malah, ada di antara mereka sering menghabiskan banyak waktu untuk membaca tulisan didinding biarpun itu hanya sebatas kalimat namamu ,Zulaikha.

Kekasihku sayang,

Aku terlalu rindukan kau. Saban hari kita sering bertemu di mimpi. Kita menyanyi bersama, menari dan meluangkan banyak waktu bersama. Dunia ini memang padat dipenuhi jutaan orang. Tapi dihati dan ingatanku, kau telah berumah di situ.

Tahukah kau bahwa aku adalah satu-satunya lelaki di sini yang memakai penyepit rambut kepunyaan kau, gelang kaki dan plastik berwarna jingga ini yang sering kuikat dikepalaku ini.

Aku juga lelaki yang memakai lipstik merah kesukaan kau. Aku sanggup di marahi berkali-kali kerana mencuri lipstik perawat-perawat di sini. Dan rasa ini, sering buat aku dekat bersamu kau, Zulaikha.

Zulaikha ku yang manis,

Warkah ini aku siapkan untuk beri perkhabaran awal bagaimana keadaan aku tanpa kau, Zulaikha. Walau sebenarnya terlalu banyak perkara pelik yang ingin aku sampaikan. Percayalah, aku tidak akan pernah jemu mengirimkan khabar buatmu walau kita berada di alam yang berbeza.

Aku dapat merasa aura kau sering mengawasi aku di sini. Cuma aku tidak suka berada terlalu lama di sini hanya kerana aku di paksa untuk melupakan kau. Di paksa untuk tidak memakai penyepit rambut ini, memakai lipstik merah dan plastik berwarna jingga ini lagi.

Di sini, aku tidak perlu siapa-siapa selain kerinduan. Kerana aku tahu, kau adalah bidadari yang akan selalu membahagiakan aku walau kau telah berada di syurga. perempuanku,

Tunggu aku di depan pintu. Sambut aku dengan senyum manis itu, aku rindu.

Salam cinta dari dunia,
LELAKIMU.
3:48 pagi,
4 Ogos 2011.

No comments:

Post a Comment