Monday, June 26, 2017

Benda Mati - PART 3


Malam datang lagi. Rasa yang datang seolah kejam untuk meninggalkan dia sendirian. Malam terasa panjang. Detik ini, lelaki itu tidur bertemankan bekas baju kekasihnya yang tidak dibasuh.

Dulu lelaki itu merupakan pencemburu kepada benda-benda mati, apatah lagi benda yang bernyawa. Indahnya menjadi bantal buat kepala Zulaikha untuk ke jalan mimpi. Nyaman sekali menjadi bantal peluk bagi seorang Zulaikha.

Apa lagi ? Tuala, baju, selimut, jam tangan, malah kasut dan semua benda-benda mati tidak bernyawa. Andai diberi peluang menjadi sosok selain manusia, ingin saja dia memilih untuk menjadi 'benda mati' untuk Zulaikha.

Petang itu hujan turun dengan lebat tanpa sadar tangannya dengan sendiri memegang dada, dan merasai kepala Zulaikha. Sesekali petir berdentum membuat dia terasa berdebar-debar. Mungkin trauma yang dirasakan itu seolah kejadiaannya berlaku semalam. Kejadian di Jalan Robinson memang masih betul-betul segar di ingatannya.

Semalam lelaki itu bermimpi menemui Zulaikha. Di hening subuh, mereka duduk di bangku, di tepi pulau perhentian, tempat yang mereka wajib datang setiap 14 Jun setiap tahun. Ia merupakan hari ulang tahun Zulaikha. Ia tidak disambut dengan hadiah-hadiah mewah. Kerana bagi lelaki itu, yang letakkan untuk sebuah perhubungannya adalah kasih sayang yang dalam. Mempersembahkan jiwa raga hanya untuk seorang Zulaikha.

"Hey gila! Kenapa kau pakai plastik bodoh itu?" 

Sergah salah seorang penghuni di situ. Lelaki itu cuma memandang kemudian tidak mempedulikannya. Baginya, rindunya dia pada Zulaikha telah membuatkan deria rasa pada sekeliling hampir mati. Hatinya keras, ingatannya hanya pada Zulaikha.

"Abang, kalau Ika dah tak ada lagi, abang jangan tutup pintu hati abang pada orang lain ya?"

"Ika cakap apa ni? jangan cakap benda-benda macam tu boleh tak? kalau Ika pergi, Abang akan patah hati..."

Itu adalah dialog sehari sebelum mereka jalan menyelusuri Jalan Robinson. Bagaimana untuk dia, si lelaki yang obses dengan Zulaikha harus menerimana kehilangan yang tiba-tiba ini?

Tujuh hari, tujuh malam lelaki itu memeluk pusara Zulaikha. Bumi turut bersedih. Keluarga kehilangan anak perempuan yang baik. Kesedihan lelaki itu berpanjangan hingga dipaksa oleh keluarga Zulaikha supaya tidak menangis lagi. Sehari selepas Zulaikha pergi, lelaki itu menguncikan diri dibilik untuk jangka masa yang lama.

Untuk kebaikan lelaki itu, dia akhirnya ditempatkan di pusat pemulihan jiwa walau dia sebenarnya tidak gila. Cuma hanya terlalu meratapi pemergian Zulaikha, kekasihnya yang sangat dia cintai.

No comments:

Post a Comment